Kursus Kecemerlangan Pengurusan Berat Badan
Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya telah mengadalan Kursus Kecemerlangan Pengurusan Berat Badan bertempat di Padang Merbuk, Taman Wetland Putrajaya pada 21 November 2009. Kursus ini merupakan salah satu daripada aktiviti di bawah Program Pengurusan Berat Badan yang dijalankan di Pusat Maklumat Pemakanan Putrajaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya. Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai cabaran dan halangan dalam mengurangkan berat badan dan membincangkan kaedah penyelesaiannya. Kursus ini juga memberi penekanan kepada kepentingan aktiviti fizikal sebagai salah satu kaedah yang berkesan dalam mengurangkan berat badan.
Peserta kursus ini adalah terdiri daripada staf-staf Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya yang mengikut Program Pengurusan Berat Badan. Seramai 320 orang peserta telah hadir ke program tersebut.
Kursus ini telah dirasmikan oleh Puan Rokiah Don, Pengarah Bahagian Pemakanan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Walkathon, ceramah berkenaan Kecemerlangan Pengurusan Berat Badan yang disampaikan oleh Profesor Madya Zulkifli Ab. Kadir, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Program ini diakhiri dengan acara sukaneka untuk peserta dan semua ahli keluarga dan rakan-rakan peserta kursus ini.















