Utama Maklumat Korporat Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia

Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia

Kenyataan Dasar

Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia berusaha untuk mencapai dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan penduduk. Dasar ini bertujuan memberikan panduan dan kemudahan agar segenap lapisan masyarakat boleh mendapatkan bekalan makanan yang cukup, selamat, berkualiti dan berzat. Polisi ini akan menggalakkan dan menyokong strategi amalan pemakanan secara sihat untuk semua. Dasar ini juga akan mengintegrasikan serta menggabungkan usaha-usaha pihak yang berkepentingan dalam perancangan, pelaksanaan serta penilaian program-program makanan dan pemakanan yang berkesan dan berkekalan.

Matlamat
Dasar Pemakanan Kebangsaan bertujuan mewujudkan penduduk yang sihat dari segi pemakanan, untuk membolehkan mereka menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan negara, selaras dengan Wawasan 2020.

 

Objektif

Dasar ini mempunyai tiga objektif, iaitu:-

  1. Mempertingkatkan serta mengekalkan tahap kesejahteraan pemakanan bagi semua penduduk.
  2. Memastikan jaminan kedapatan makanan isi rumah untuk semua lapisan masyarakat.
  3. Memantapkan hubungan perantaraan dan dalaman sektor yang terlibat dalam pembangunan serta pelaksanaan semua bentuk aktiviti berkaitan pemakanan.

 

Strategi

Bagi tujuan mencapai ketiga-tiga objektif di atas, maka strategi-strategi berikut akan digunakan:-

  1. Memaktubkan objektif-objektif, pertimbangan serta komponen-komponen pemakanan ke dalam dasar-dasar serta program-program pembangunan kebangsaan.
  2. Memastikan bahawa semua golongan masyarakat berupaya mendapatkan bekalan makanan yang selamat dan berzat secara berterusan.
  3. Memastikan bahawa semua penduduk berupaya mendapatkan pengetahuan, pendidikan pemakanan dan sumber, serta peluang untuk membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan fakta mengenai pemilihan makanan yang sihat.
  4. Mencegah seta mengawal masalah kekurangan zat makanan dan penyakit-penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan.
  5. Mempertingkatkan penjagaan bagi golongan yang kurang bernasib baik dan berisiko menghadapi kekurangan zat makanan.
  6. Menggalakkan amalan pemberian makanan yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak.
  7. Menggalakkan cara pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang aktif bagi semua lapisan masyarakat.
  8. Menyokong usaha-usaha melindungi pengguna dengan memperbaiki kualiti dan keselamatan makanan.
  9. Memastikan bidang pemakanan dan dietetik diamalkan oleh profesional yang terlatih.
  10. Mempertingkatkan keupayaan institusi dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pemakanan dan yang berkaitan dengannya.
  11. Penilaian dan pemantauan berterusan situasi pemakanan dalam negara.
  12. Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan di dalam bidang makanan dan pemakanan.

 

Mekanisme Pelaksanaan

Pelaksanaan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan. Jawatankuasa Penyelaras Makanan dan Pemakanan Kebangsaan akan bertindak sebagai penasihat teknikal kepada Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan. Dasar ini akan dilaksanakan melalui perancangan yang berkesan dan berdaya maju dengan penyemakan semula Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia.

 

Pemantauan dan Penilaian

Bagi memastikan dasar ini dilaksanakan dengan berkesan, satu sistem pemantauan dan penilaian akan diwujudkan. Objektif pemantauan dan penilaian dasar ini adalah seperti berikut:-

  1. Memastikan bahawa Dasar dilaksanakan sebagaimana dirancang dan objektif-objektifnya dicapai.
  2. Mengenal pasti masalah-masalah dan kelemahan dalam pelaksanaan Dasar.
  3. Memperbaiki pengurusan dan prestasi Dasar.

Pemantauan dan penilaian dasar ini akan dijalankan dari semasa ke semasa, dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Penyelaras Makanan dan Pemakanan Kebangsaan. Urusan pentadbiran pelaksanaan dasar dijalankan menerusi penggabungan tenaga pelbagai kementerian, agensi, badan profesional serta badan-badan bukan kerajaan melalui beberapa Kumpulan Kerja Teknikal.

 

Tips Kesihatan

Ambil 2 hidangan susu dan produk tenusu setiap hari

Carian

Pusat Maklumat Pemakanan (Putrajaya)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Nur Shafawati Mohd Ghazali di talian 03-8883 4049 atau email ke shafawati_ghazali@moh.gov.my

Di Talian

Terdapat 1 pengunjung  di talian

Pelawat