Utama Program Kejayaan Membasmi Masalah Gangguan Akibat Kekurangan Iodin di Sabah

Kejayaan Membasmi Masalah Gangguan Akibat Kekurangan Iodin di Sabah

Kejayaan membasmi masalah gangguan iodin di Sabah

PENGENALAN

Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (Iodine Deficiency Disorders, IDD) telah dikenal pasti sebagai salah satu masalah kesihatan di Sabah. Hasil Kajian Gangguan Akibat Kekurangan Iodin yang telah dilaksanakan pada tahun 1996 menunjukkan bahawa 17.9 peratus kanak-kanak yang terlibat dalam kajian ini mempunyai goiter iaitu pembengkakan kalenjar tiroid yang disebabkan oleh kekurangan iodin. Paras median iodin  dalam urin di kalangan kanak-kanak ini adalah juga rendah iaitu 66 µg/liter. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil inisiatif untuk mewartakan Sabah sebagai kawasan yang mempunyai masalah IDD bagi mengatasi masalah IDD ini.

PELAKSANAAN

Objektif program ini adalah untuk membasmi masalah gangguan akibat kekurangan iodin bagi seluruh Negeri Sabah.

Kumpulan Sasar: Semua penduduk di Negeri Sabah.

AKTIVITI YANG DILAKSANAKAN

Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk membantu pelaksanaan pewartaan ini. Aktiviti-aktiviti tersebut termasuklah:

  1. Penguatkuasaan dan pemantauan garam beriodin di pintu masuk laut, darat dan udara.
  2. Penguatkuasaan dan pemantauan garam beriodin di kilang atau premis pembungkusan semula.
  3. Penguatkuasaan dan pemantauan garam beriodin di peringkat peruncit.
  4. Aktiviti pengawasan melalui pengambilan sampel garam yang digunakan di peringkat isi rumah.
  5. Aktiviti pemantauan Program Pencegahan dan Kawalan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) melalui analisa iodin dalam urin diperingkat negeri, daerah prioriti dan daerah kawalan dilaksanakan di Sabah. Aktiviti pemantauan ini dijalankan untuk mengetahui sama ada penggunaan garam beriodin telah sampai kepada kumpulan sasaran iaitu penduduk Sabah.
  6. Aktiviti pendidikan kesihatan bagi menggalakkan penggunaan garam beriodin dan meningkatkan pengambilan makanan tinggi kandungan zat iodin sentiasa dijalankan oleh kakitangan kesihatan kepada masyarakat.

 

FAEDAH KEPADA KKM / PARA PROFESIONAL / ORANG RAMAI

Pembasmian masalah IDD telah dapat dicapai di Negeri Sabah melalui pewartaan Negeri Sabah sebagai negeri yang yang mempunyai masalah IDD, di mana penjualan garam beriodin secara universal adalah diwajibkan. Pemantauan yang telah dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan bahawa paras iodin dalam urin di kalangan kanak-kanak sekolah di negeri ini berada pada paras yang optimal iaitu lebih daripada 100 µg/liter. Pembasmian masalah IDD ini dapat membantu meningkatkan pencapaian kognitif dan mental penduduk di Negeri Sabah, terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Ini membantu melahirkan masyarakat yang mempunyai prestasi mental yang tinggi, di mana kekurangan iodin dikaitkan dengan tahap keupayaan mental. Ini seterusnya akan meningkatkan produktiviti penduduk di Negeri Sabah.

RANCANGAN MASA DEPAN

Pewartaan sesebuah kawasan sebagai kawasan yang mewajibkan penggunaan dan penjualan garam beriodin merupakan strategi yang amat berkesan bagi membasmi masalah IDD.  Selain Negeri Sabah, seluruh Negeri Sarawak telah diwartakan sebagai kawasan IDD pada 3 Julai 2008 dan penguatkuasaannya akan dimulakan pada Jun 2009. Strategi ini akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia selepas data Kajian IDD Kebangsaan 2008 diperoleh.

>>

GAMBAR-GAMBAR KEJAYAAN MEMBASMI MASALAH GANGGUAN AKIBAT KEKURANGAN IODIN DI SABAH

Masalah pembesaran kelenjar tiroid atau goiter yang dialami oleh individu yang mengalami kekurangan zat iodin

 

Masalah kekurangan iodin yang teruk di kalangan kanak-kanak menyebabkan kelahiran anak yang mengalami kretinism yang mempunyai ciri-ciri kerdil, kerencatan akal serta fizikal, pekak dan bisu.

 

 

 

Intervensi iodinasi air dilaksanakan melalui pemasangan iodinator di kawasan kampung, rumah panjang dan sekolah sebaga salah satu langkah membasmi masalah kekurangan iodin. Namun, pada ketika ini, intervensi ini tidak lagi dilaksanakan di Sabah.

 

Intervensi garam beriodin juga dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan iodin. Garam beriodin ini diberikan kepada ibu hamil dan kanak-kanak kurang zat makanan yang layak.

 

Pemeriksaan garam beriodin yang diimpot dilaksanakan di pintu masuk laut, darat dan udara untuk memastikan garam beriodin mengandungi iodin mengikut Peraturan Makanan 1985.

Contoh bahan pendidikan yang diterbitkan untuk memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai masalah kekurangan iodin serta menggalakkan penggunaan garam beriodin dan meningkatkan pengambilan makanan tinggi zat iodin.

 

Buku Garis Panduan dan Modul Latihan yang digunakan untuk melatih anggota dalam pelaksanaan Program Pencegahan dan Kawalan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin di Malaysia.

 

Pemantauan pencapaian program dilaksanakan melalui penentuan median kepekatan iodin dalam urin di kalangan kanak-kanak sekolah.

 

 

< Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di Klinik Kesihatan Kumpulan Kerja Teknikal Latihan Pemakanan >
 

Tips Kesihatan

Kurangkan lemak dan minyak dalam penyediaan makanan

Carian

Pusat Maklumat Pemakanan (Putrajaya)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Nur Shafawati Mohd Ghazali di talian 03-8883 4049 atau email ke shafawati_ghazali@moh.gov.my

Di Talian

Terdapat 2 pengunjung  di talian

Pelawat