Utama Program Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di Klinik Kesihatan

Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di Klinik Kesihatan

Perkhidmatan Rundingcara Khidmat Pemakanan di Klinik Kesihatan

PENGENALAN


Di Malaysia, prevalen penyakit kronik berkaitan dengan pemakanan sedang meningkat. Penyakit kardiovaskular adalah merupakan penyebab utama kematian di Malaysia di mana hipertensi dan diabetes adalah faktor predisposing utamanya. Penyebab utama peningkatan diabetes dan hipertensi pula ialah masalah berlebihan berat badan dan obesiti. Oleh itu Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di klinik kesihatan telah mula dilaksanakan pada tahun 2007, sebagai usaha mengatasi masalah-masalah ini. Penempatan Pegawai Sains (Zat Makanan) di setiap klinik kesihatan yang mempunyai Pakar Perubatan Keluarga adalah merupakan salah satu strategi yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan. Salah satu tugas yang dan tanggung jawab pegawai ini adalah menjalankan runding cara pemakanan di klinik kesihatan. Setakat ini, Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan telah dilaksanakan di 160 buah klinik kesihatan di seluruh negara.     


PELAKSANAAN


Objektif Umum

Untuk mengawal dan memulihkan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan berkaitan dengan pemakanan khususnya penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan kardiovaskular serta obesiti, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang normal dan dapat memberi sumbangan ke arah meningkatkan produktiviti negara.

Objektif Khusus

  1. Untuk memberi rawatan melalui perkhidmatan kaunseling dan runding cara pemakanan oleh profesional kesihatan yang terlatih (Pegawai Sains Zat Makanan) kepada individu-individu yang mengalami masalah kesihatan berkaitan dengan pemakanan, khususnya penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, kardiovaskular dan obesiti di klinik kesihatan.
  2. Menyediakan kemudahan infrastruktur yang dilengkapi peralatan-peralatan yang bersesuaian bagi pengurusan kes-kes tersebut agar proses rawatan dapat dijalankan dengan efektif.


Kumpulan Sasaran

Pelanggan dari semua peringkat umur yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pemakanan, dan dirujuk oleh pegawai perubatan, serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.


AKTIVITI YANG DILAKSANAKAN


Aktiviti seperti berikut dilaksanakan dalam Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan:

  1. Nasihat pemakanan bagi pesakit diabetes dan pra diabetes dewasa.
  2. Nasihat pemakanan bagi pesakit diabetes gestasi (diabetes semasa mengandung).
  3. Nasihat pemakanan bagi pesakit hipertensi dewasa.
  4. Nasihat pemakanan bagi pesakit hiperlipidemia dewasa dan warga emas.
  5. Pengurusan berat badan kanak-kanak, remaja dan dewasa yang berlebihan berat badan dan obes.
  6. Nasihat pemakanan bagi remaja dan ibu hamil anemia.
  7. Nasihat pemakanan bagi kanak-kanak kurang zat makanan.



FAEDAH KEPADA KKM / PARA PROFESIONAL / ORANG RAMAI


Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di klinik kesihatan ini banyak memberi faedah kepada orang ramai. Dengan adanya perkhidmatan ini pelanggan akan mendapat nasihat yang tepat dan berkualiti dari profesional kesihatan yang terlatih. Prekripsi pemakanan yang diberi adalah bersesuaian dengan keadaan penyakit dan masalah mereka. Ini dapat membantu memulih dan mengawal penyakit atau keadaan kesihatan mereka sekiranya saranan yang diberi diikuti sepenuhnya.


RANCANGAN MASA DEPAN


Setakat ini, terdapat sebanyak 160 buah klinik kesihatan yang menawarkan Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan menggunakan sistem janji temu. Oleh kerana terdapat 859 buah klinik kesihatan di seluruh negara pada ketika ini, bilangan Pegawai Sains (Zat Makanan) akan ditambah untuk memperluaskan perkhidmatan ini di klinik kesihatan yang masih belum diliputi.   

>>

GAMBAR-GAMBAR PERKHIDMATAN RUNDING CARA PEMAKANAN DI KLINIK KESIHATAN

 

Runding Cara Pemakanan Warga Emas Adalah Salah Satu Aktiviti Runding Cara Yang Dijalankan.

 

Kaedah Ingatan Diet dan Kekerapan Pengambilan Makanan Digunakan bagi Menilai Tahap Pengambilan Pemakanan Pelangan Semasa Runding Cara Pemakanan Dijalankan.

 

Buku Saringan Kesihatan dan Pemakanan serta Bahan-Bahan Pendidikan Yang Dibekalkan Kepada Pelanggan Semasa Sesi Runding Cara Dijalankan.

 

Pemeriksaan Peratus Lemak Badan Mengikut Ukuran Antropometri (Berat Badan/ Tinggi/ Indeks Jisim Tubuh), Klinik Warga Sihat, Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur.

 

Pengambilan Ukuran lilitan Pinggang Adalah Salah Satu Kaedah Yang Diwajibkan Kepada Pelanggan Yang Mengalami Masalah Lebih Berat Badan atau Obes.

 

Sesi Runding Cara Pemakanan Sedang Dijalankan oleh Pegawai Sains (Zat Makanan) Dengan Menggunakan Model Makanan dan Peralatan Sukatan Makanan Yang Biasa Digunakan di Rumah

.

< Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan Kejayaan Membasmi Masalah Gangguan Akibat Kekurangan Iodin di Sabah >
 

Tips Kesihatan

Amalkan penyusuan susu ibu (PSI) secara eksklusif sehingga 6 bulan dan teruskan sehingga 2 tahun

Carian

Pusat Maklumat Pemakanan (Putrajaya)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En. Izzudin Bin Alimin di talian 03-8883 4049 atau email ke izzudin_alimin@moh.gov.my

Di Talian

Terdapat 1 pengunjung  di talian

Pelawat