Pemulihan kanak-kanak kurang zat makanan
PENGENALAN
Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan atau juga dikenali sebagai Program Bakul Makanan merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan pemakanan kanak-kanak bawah enam tahun. Ia mula dilaksanakan pada tahun 1989 di seluruh negara. Dalam program ini, kanak-kanak yang memenuhi kriteria kelayakan diberi bantuan makanan untuk membantu mereka memperolehi makanan yang seimbang dan berkhasiat, supaya dapat mencapai pertumbuhan fizikal dan mental yang optima. Kanak-kanak yang terbabit juga akan diberi rawatan sekiranya mengidap sebarang penyakit, imunisasi, pendidikan kesihatan dan jagaan kesihatan serta pengawasan yang rapi.
Bermula tahun 2006 hingga 2008, usaha bagi penambahbaikan program telah dilaksanakan. Ini termasuk penambahbaikan perkhidmatan yang diberikan, penambahbaikan terhadap makanan yang dibekalkan, peningkatan harga bakul makanan, dan peluasan skop penerima bakul makanan seiring dengan peningkatan Paras Garis Kemiskinan (PGK) Miskin Tegar yang telah ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi.
PELAKSANAAN
Objektif Umum
Untuk meningkatkan status pemakanan kanak-kanak daripada keluarga miskin tegar yang berumur di antara 6 bulan hingga bawah 6 tahun yang mengalami masalah kurang berat badan.
Objektif Khusus
Untuk memulihkan kanak-kanak daripada keluarga miskin tegar yang berumur di antara 6 bulan hingga bawah 6 tahun yang mengalami:
- Kurang berat badan teruk (berat-untuk-umur < - 3SD) sehingga dapat mencapai berat badan yang memuaskan (pertambahan berat badan selama 6 bulan berturut-turut).
- Kurang berat badan sederhana (berat-untuk-umur ≥ - 3SD hingga < - 2SD) sehingga dapat mencapai berat badan yang memuaskan (pertambahan berat badan 3 bulan berturut-turut).
Kumpulan Sasaran
Kanak-kanak warganegara Malaysia yang berumur di antara enam bulan hingga bawah enam tahun daripada keluarga miskin tegar.
Aktiviti Yang Dijalankan
Kanak-kanak yang layak menerima bantuan dikenal pasti melalui aktiviti pengawasan pertumbuhan kanak-kanak bawah enam tahun yang dijalankan secara rutin di klinik kesihatan. Kanak-kanak yang layak menerima bantuan akan didaftar dalam Buku Rekod Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan. Bantuan akan diberikan selepas sebulan kes didaftar, dan setelah penyiasatan ke rumah dibuat bagi menilai kelayakan mereka. Ibu bapa atau penjaga akan datang ke klinik kesihatan untuk mengambil bakul makanan. Bagi kes yang betul-betul tidak boleh datang ke klinik kesihatan, bakul makanan akan dihantar ke rumah mereka semasa lawatan penyeliaan atau melalui klinik bergerak.
Setiap kanak-kanak yang layak akan dibekalkan dengan makanan asas, susu tepung penuh krim dan multivitamin. Bahan makanan asas yang dibekalkan telah dikaji semula pada tahun 2007 dan 2008. Makanan asas yang terdapat dalam pakej terbaru ini adalah beras, bijirin sarapan, biskut, marjerin, telur, multivitamin, ikan sardin, ikan bilis, bihun, serbuk malt coklat, minyak masak dan susu formula khas. Terdapat 13 cadangan kombinasi makanan asas yang boleh dibekalkan kepada kanak-kanak ini. Harga bagi setiap kombinasi ini adalah anggaran RM150.00.
Kriteria Kelayakan
Kriteria kelayakan terbaru yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2009 adalah seperti berikut:
- Kanak-kanak warga negara Malaysia yang berumur di antara 6 bulan hingga bawah 6 tahun daripada keluarga miskin tegar (pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia, kurang daripada RM540 bagi Sabah dan kurang daripada RM520 bagi Sarawak).
- Kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan iaitu:
- Kurang berat badan teruk atau
- Kurang berat badan sederhana dan berat-untuk-tinggi < – 2SD atau
- Kurang berat badan sederhana dan berat-untuk-tinggi > – 2SD tetapi tiada kenaikan berat badan selama 3 bulan berturut-turut atau
- Kurang berat badan teruk dengan masalah kongenital atau dengan tanda-tanda marasmus atau kwashiorkor atau
- Kurang berat badan sederhana dengan masalah kongenital atau dengan tanda-tanda marasmus atau kwashiorkor
Kriteria Pulih
Kriteria pulih yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2009 adalah seperti berikut:
- Bagi kanak-kanak kurang berat badan sederhana, kes dikira pulih sekiranya terdapat peningkatan berat badan (mengikut lengkok tumbesaran) selama 3 bulan berturut-turut, dan berat-untuk-tinggi adalah normal, iaitu > – 2SD.
- Bagi kanak-kanak kurang berat badan teruk, kes dikira pulih sekiranya terdapat peningkatan berat badan (mengikut lengkok tumbesaran) selama 6 bulan berturut-turut, dan berat - untuk-umur melepasi garisan – 3SD, dan berat-untuk-tinggi adalah normal, iaitu > – 2SD.
- Telah disahkan pulih oleh pegawai perubatan.
Kriteria Pemberhentian Bekalan Makanan
Bantuan makanan akan diberhentikan apabila kes telah disahkan pulih, atau atas sebab-sebab lain seperti masuk sekolah atau berpindah, tidak dapat dikesan, enggan menerima bantuan atau meninggal dunia, atau keluarga sudah mampu (pendapatan telah melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan Tegar).
FAEDAH KEPADA KKM / PARA PROFESIONAL / ORANG RAMAI
Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM) telah memberi faedah kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak kurang zat makanan. Sejak program ini dijalankan, lebih daripada separuh kanak-kanak yang mengalami masalah kurang zat makanan telah dapat dipulihkan. Data dari tahun 2003 hingga 2007 menunjukkan bahawa jumlah kanak-kanak yang pulih adalah seramai 6, 244 orang.
RANCANGAN MASA DEPAN
Di masa akan datang, program ini akan diperluaskan kepada lebih ramai kanak-kanak yang mengalami masalah kurang zat makanan, supaya mereka dapat mencapai pertumbuhan fizikal dan mental yang optima. Garis panduan program yang baru akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan anggota kesihatan dalam mengendalikan kanak-kanak kurang zat makanan. Mekanisme rujukan kepada agensi-agensi yang berkaitan juga akan diperkukuhkan.
>>
GAMBAR-GAMBAR PROGRAM PEMULIHAN KANAK-KANAK KEKURANGAN ZAT MAKANAN (PROGRAM BAKUL MAKANAN)
![]() |
|
Keadaan Rumah Keluarga Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan (KZM) yang menerima bantuan Bakul Makanan di bawah Program PPZKM.
|
![]() |
| Kebersihan Dan Keselamatan Dapur Turut Diberi Penekanan Dalam Pendidikan Kesihatan Penerima Bantuan Bakul Makanan Di Bawah Program PPZKM |
![]() |
|
Sebahagian Daripada Bahan-Bahan Dalam Bakul Makanan Yang Dibekalkan Kepada Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan Di Bawah Program PPKZM
|
![]() |
|
Pendidikan Pemakanan Dan Kesihatan Sedang Diberikan Oleh Anggota Kesihatan Kepada Ibu Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan(KZM) Di Bawah Program PPKZM, di Daerah Bau, Sarawak.
|
![]() |
|
Pemeriksaan Kesihatan Dijalankan Secara Rutin Oleh Anggota Kesihatan Semasa Sesi Lawatan Ke Rumah Kes Dibawah Program PPKZM, Daerah Serian, Sarawak.
|
![]() |
|
Antara Kanak-Kanak berumur 4 dan 5 tahun yang layak menerima bantuan di bawah Program PPKZM.
|
| < Projek Dapur Sihat Masyarakat | Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di Klinik Kesihatan > |













