Utama Program Tata Etika Pemasaran Pemakanan Bayi & Produk Berkaitan

Program Tata Etika Pemasaran Pemakanan Bayi dan Produk Berkaitan

Tata Etika Pemasaran pemakanan bayi & produk berkaitan

PENGENALAN

Susu ibu merupakan makanan yang terunggul bagi bayi di mana ia mengandungi semua keperluan untuk tumbesaran bayi yang optima. Namun, penghasilan produk susu formula bayi serta promosi produk gantian susu ibu tersebut yang agresif oleh pengilang produk makanan bayi boleh mempengaruhi kepercayaan ibu untuk menyusukan anak-anak mereka. Pelbagai bentuk pemasaran digunakan oleh industri formula untuk mempengaruhi ibu-ibu seperti iklan yang mengelirukan, pemberian sampel dan hadiah percuma serta edaran pelbagai risalah dan kajian kepada profesional kesihatan yang menunjukkan susu gantian adalah “lebih baik atau hampir sama dengan susu ibu” didapati menggugat amalan penyusuan susu ibu. Rentetan ini, pelaksanaan Tata Etika amat diperlukan bagi melindungi, menyokong serta mempromosikan amalan penyusuan susu ibu melalui pengawalan  tekanan pemasaran produk-produk makanan bayi dan peralatan penyusuan bayi ke atas ibu-ibu.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerbitkan Buku  Tata Etika Susu Berformula Untuk Bayi di Malaysia sejak 1 Julai 1979 lagi.  Tata Etika ini adalah berasaskan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu ’International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes” dan resolusi-resolusi World Health Assembly (WHA) berkenaan pemakanan bayi dan kanak-kanak kecil.

Tata Etika ini dihasilkan dengan kerjasama industri-industri susu yang beroperasi di Malaysia. Pada tahun 1983, Tata Etika tersebut telah dipinda dengan beberapa penambahbaikan. Tata Etika ini seterusnya dipinda buat kali kedua pada tahun 1985 untuk membolehkan pengawasan dan pelaksanaan yang lebih berkesan dijalankan. Tata Etika untuk Produk Susu Formula Bayi telah diterbitkan pada tahun 1995 sebagai pindaan kali ke-3 berdasarkan beberapa keperluan perubahan mengikut situasi negara.

Edisi terbaru buku tersebut dinamakan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan, dan telah dilancarkan pada 1 Ogos 2008,oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan Dato’ Liow Tiong Lai.  Tata Etika ini merangkumi panduan amalan etika dan pemberian maklumat berkaitan produk-produk tersenarai iaitu:-

  1. Rumusan Bayi (bagi bayi 0-12 bulan).
  2. Rumusan Susulan (bagi bayi berumur 6   bulan hingga 3 tahun).
  3. Rumusan Khas (Rumusan bayi bagi bayi yang mempunyai keperluan diet spesifik atas sebab-sebab perubatan).
  4. Makanan bayi lain yang dipasarkan untuk bayi berumur di bawah enam bulan.
  5. Botol susu, puting susu dan puting kosong.



PELAKSANAAN


Objektif

Matlamat Tata Etika adalah untuk menyumbang kepada promosi pemakanan yang selamat dan optima bagi bayi dengan melindungi dan mempromosikan penyusuan susu ibu dan memastikan penggunaan produk gantian susu ibu yang betul (sekiranya perlu) dengan menyediakan informasi yang mencukupi melalui kaedah pemasaran dan pengedaran yang terkawal.

Kumpulan Sasar

  1. Pengilang dan pengedar produk tersenarai dan makanan pelengkap.
  2. Professional dan anggota kesihatan yang bertugas di dalam sistem penjagaan kesihatan.

 

AKTIVITI YANG DILAKSANAKAN


Di antara aktiviti yang dilaksanakan ialah:

  1. Penapisan dan pemberian kod kelulusan kepada bahan-bahan maklumat produk seperti label produk serta risalah dan iklan untuk profesional kesihatan. Penapisan dijalankan oleh Jawatankuasa Penapisan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.
  2. Pemantauan pematuhan kepada amalan etika oleh industri susu dan anggota serta professional kesihatan.
  3. Menjalankan tindakan disiplin ke atas pelanggaran Tata Etika yang dilaporkan. Penalti yang dikenakan bergantung kepada tahap dan kekerapan perlanggaran Tata Etika.

Mana-mana satu atau gabungan penalti berikut akan dikenakan iaitu:

  • Amaran bertulis dengan salinan kepada syarikat induk dan Pengerusi Jawatankuasa Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan peringkat negeri.
  • Penggantungan penapisan semua bahan baru untuk satu hingga 2 tahun.
  • Pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.
  • Pemberitahuan kepada Persatuan Antarabangsa Pengeluar-Pengeluar Makanan Bayi.
  • Mengeluarkan kenyataan akhbar .
  • Senarai-hitam seperti memulaukan syarikat berkenaan dari tender-tender untuk masa datang bagi satu tempoh masa tertentu.

 

FAEDAH KEPADA KKM / PARA PROFESIONAL / ORANG RAMAI

Setiap tahun, mengikut laporan pemantauan, tahap pematuhan oleh industri susu semakin meningkat dan bilangan pelanggaran semakin kurang.

Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan ini memberi faedah kepada:

  1. Ibu bapa – ibu bapa dapat membuat keputusan mengenai pemakanan bayi mereka tanpa dipengaruhi oleh maklumat - maklumat promosi produk gantian susu ibu daripada pengeluar  makanan bayi yang mengelirukan dan merendahkan keunggulan susu ibu.
  2. Bayi – menerima sumber makanan yang terbaik iaitu susu ibu yang  memberi kesan pertumbuhan dan kesihatan yang optimum.
  3. Masyarakat – membantu mengurangkan masalah kekurangan zat makanan dan kematian pada bayi dan kanak-kanak kecil.


>>

RANCANGAN MASA DEPAN

Memantapkan aktiviti pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan di peringkat negeri berdasarkan perluasan skop Tata Etika edisi terbaru.

 

 

Y. B. Dato’ Liow Tiong Lai Merasmikan Buku Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan Sambil Diperhatikan Oleh Y. Bhg. Dato’ Dr. Hj. Ramlee Bin Haji Rahmat, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2008.

 

Y. B. Menteri Kesihatan Malaysia Menandatangani Plak Semasa Upacara Perasmian Pusat Laktasi Kebangsaan Di Hospital Selayang.

 

 

Y. B. Menteri Kesihatan Malaysia Menunjukkan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan Kepada Hadirin Selepas Perasmian Buku.

 

 

Pembentangan kertas kerja oleh Puan Fatimah Salim, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) semasa Seminar Majlis Perasmian Buku Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.

 

Tata Etika Untuk Produk Susu Formula Bayi (Edisi ke-3)

 

 

Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi Dan Produk Berkaitan (Edisi ke -4)

>>

LATIHAN PEMANTAUAN TATA ETIKA PEMASARAN MAKANAN BAYI DAN PRODUK BERKAITAN

Latihan Pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan telah dijalankan pada 18-21 Oktober 2009 bertempat di Hotel Cryctal Crowne, Petaling Jaya. SeramaI 28 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Zat Makanan dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada setiap negeri  telah menghadiri kursus tersebut.  

Objektif latihan adalah seperti berikut :

  1. Melatih pengawas-pengawas dalam menjalankan pemantauan Tata Etika menggunakan Garis Panduaan Pelaksanaan Pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.
  2. Memperkukuhkan pasukan pengawas Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan di setiap negeri dengan maklumat-maklumat  baru berkaitan pelaksanaan Tata Etika ini.
  3. Memastikan bahawa Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan  dipatuhi oleh pengilang dan pengedar serta professional dan anggota kesihatan di peringkat negeri.

 

Gambar-Gambar Sempena Latihan Pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan

 

Peserta kursus Pemantauan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan

 


Puan Zalma Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) 
sedang menyampaikan ceramah semasa Latihan Pemantauan dijalankan.

 

< Komponen Pemakanan Dalam PLKN Projek Dapur Sihat Masyarakat >
 

Tips Kesihatan

Baca fakta pemakanan pada label makanan

Carian

Pusat Maklumat Pemakanan (Putrajaya)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En. Izzudin Bin Alimin di talian 03-8883 4049 atau email ke izzudin_alimin@moh.gov.my

Di Talian

Terdapat 14 pengunjung  di talian

Pelawat